Wednesday 29 May 2013

Entri 1 : Kenal pasti suatu budaya bangsa lain yang boleh anda pelajari dan amalkan dalam        
               hidup anda.

Menepati Masa
            Jepun merupakan sebuah negara yang cukup hebat kemajuan teknologinya di dunia. Kemampuan teknologi tersebut mampu menyaingi atau mendahului kehebatan teknologi negara-negara barat lain. Kehebatan negara Jepun ini banyak disumbang oleh sikap rakyat mereka yang menepati masa. Bayangkanlah, serangan nuklear yang menimpa bumi Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, sudah cukup untuk melumpuhkan Jepun selama-lamanya. Namun mereka mampu membangunkan negara sendiri dengan pantas. Ternyata amalan menepati masa mereka amat memainkan peranan dalam mendisiplinkan rakyat membangunkan Jepun.
            Budaya menepati masa ini sudah cukup sinonim dengan negara Jepun. Contohnya seperti aktiviti harian mereka, iaitu densya (kereta api) dan bas akan datang tepat pada masanya. Jika terlewat seminit pun penumpang bolehlah mengucapkan sayonara (selamat tinggal) kerana mereka amat menepati masa. Apatah lagi shinkanzen (kereta api laju) di Jepun bergerak dengan kelajuan 580 kilometer sejam, maknanya jika terlewat seminit pun penumpang akan tertinggal jauh.
            Tambahan lagi, skop menepati masa Jepun mencakupi skop yang luas. Tidak dinafikan lagi, menepati masa merupakan elemen yang sangat penting dalam pelaksanaan sesuatu kerja. Jadi, secara langsung negara yang mempunyai rakyat yang menepati masa, maka negara itu berpeluang cerah untuk maju dengan pesat hasil komitmen rakyat yang cukup berdisiplin. Dalam Islam sendiri pun sudah menyebut yang menepati masa ini cukup penting seperti yang tercatat dalam Surah al-Asr. Malaysia sepatutnya mencontohi negara Jepun dalam menerapkan budaya ini. Sedangkan mereka bukanlah negara Islam, tetapi sudah mengamalkan tuntutan yang ada dalam al-Quran, inikan pula Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.



            Kesimpulannya, sudah tiba masanya kita mengubah amalan hidup rakyat Malaysia yang sudah menjadi kebiasaannya untuk melewat-lewatkan sesuatu pekerjaan. Rakyat Malaysia patut mencontohi budaya menepati masa rakyat agar ;keharmonian dan kemajuan negara tercapai. 

No comments:

Post a Comment