Wednesday 29 May 2013



Entri 2 : Selain ijazah dan ilmu-ilmu yang anda pelajari dalam tempoh pengajian di       
universiti, apakah kemahiran lain yang dapat memberi nilai tambah dalam usaha          anda mempersiapkan diri memasuki alam kerjaya.


            Impian untuk melangkah ke universiti adalah impian setiap insan. Berbagai-bagai tujuan bagi mereka yang berkeinginan untuk melangkah ke menara gading ini. Antara faktor utama yang merangsang ramai anak-anak muda ingin melangkah ke universiti adalah untuk dijadikan modal memperoleh kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan selepas melepasi alam universiti nanti. Pelbagai ilmu serta pengalaman boleh didapati dengan melangkah ke universiti. Namun, adakah segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di universiti sudah cukup memadai untuk menempuhi ranjau alam kerjaya? Dengan itu, amatlah penting bagi setiap mahasiswa untuk menggali serba sedikit ilmu psikologi sebagai bekalan ke alam kerjaya kelak.
            Dalam seharian bekerja, tidak dapat dinafikan ketegangan atau tekanan akan sering menghantui mengganggu aktiviti harian kita. Tekanan ini hadir melalui beberapa punca, contohnya bebanan kerja yang terlalu banyak, masalah keluarga, masalah kesihatan dan lain-lain lagi. Masalah ini perlu dikawal agar ia tidak mencacatkan prestasi kerja kita dalam menjalankan tugas. Disinilah yang membezakan antara individu yang mempunyai kelebihan psikologi atau tidak. Mereka yang mempunyai kelebihan psikologi ini tidak akan mudah tewas dengan tekanan yang dialami. Sebagai insan biasa di bumi Allah ini, mengalami tekanan adalah lumrah dalam kehidupan, tetapi adalah penting untuk mengetahui cara mengawalnya dengan teratur dan berkesan.
            Selain itu, jika seseorang siswazah itu ingin menghadiri temuduga, penemuduga pastinya akan menyemak segala butiran peribadi yang di lampirkan. Dengan keputusan peperiksaan yang memberangsangkan, tentunya peluang untuk melepasi temuduga tersebut adalah tinggi. Namun, jika hanya bersandarkan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagai taruhan untuk melepasi temuduga tersebut, sejujurnya satu kesilapan telah dilakukan.  Penemuduga juga akan menguji sama ada kita mempunyai kelebihan yang tidak dipunyai oleh calon lain seperti kemampuan anda menangani masalah, membaca fikiran orang lain untuk merebut peluang, dan kematangan dalam menyusun kata-kata.

            Seandainya dibilang satu persatu, berkemungkinan banyak lagi deretan ilmu yang perlu dipelajari dalam mempersiapkan diri untuk menempuhi alam kerjaya. Bagaimanapun, serba sedikit ilmu yang dinyatakan di atas ini pastinya diyakini boleh membantu mahasiswa mahasiswi yang sudah berkira-kira untuk menempuhi alam kerjaya selepas ini.  

No comments:

Post a Comment