Wednesday, 29 May 2013

Entri 4 : Apakah itu cinta ?


            Tatkala membuka siaran radio, akan kedengaran lagu-lagu bertemakan cinta banyak disiarkan. Apabila membuka televisyen pula, drama-drama, telemovie dan filem juga banyak berkisarkan tentang cinta. Begitu juga dengan novel-novel serta majalah serta tidak kurang juga dengan beberapa akhbar yang telah menyediakan ruang khas untuk berbicara tentang cinta. Memang ternyata kalimah cinta itu cukup luas penggunaannya, melingkupi pelbagai lapisan dan seluruh pelosok dunia. Perkataan cinta itu sendiri tidak asing lagi bagi kehidupan manusia sejak dahulu lagi sehingga sekarang.
            Malah, jika disoal tentang cinta, setiap individu mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza-beza. Namun, umumnya cinta itu memberi maksud bawaan perasaan yang timbul tanpa paksaan iaitu perasaan sayang, suka, atau menggemari sesuatu. Perasaan itu timbul di lubuk hati yang paling dalam sehingga mengaitkan emosi dan adakalanya boleh membuatkan diri seseorang itu menjadi asyik terhadapnya. Perasaan cinta boleh hadir dalam keadaan dua hala atau sehala. Selain itu, seseorang akan melakukan apa-apa sahaja dan berusaha  sungguh-sungguh dalam mencapai matlamat atau kepuasan perasaan cinta tersebut.
            Cinta juga boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Cinta yang biasa kita lihat adalah antara sesama manusia iaitu antara pasangan kekasih atau pasangan suami isteri. Terdapat juga wujud perasaan cinta dan sayang terhadap mahluk yang berbeza. Contohnya seperti perasaan cinta terhadap alam sekitar dan juga sayang akan binatang peliharaan. Mungkin antara sifat cinta yang tidak diingini atau patut dielakkan adalah cinta kepada harta atau dunia, sehingga membuatkan seseorang itu terlalu taksub akan harta yang diperolehinya dan sukar untuk menderma. Selain itu, perasaan cinta pada agama masing-maisng juga membuatkan seseorang itu rajin beribadah atau taat pada suruhan agama mereka.

            Sesungguhnya cinta itu satu perasaan dan perkara yang terunik di dunia. Cinta merupakan anugerah teristimewa yang Allah kurniakan kepada kita. Janganlah anugerah tersebut disalahertikan atau disalahgunakan sehingga mengguris perasaan orang lain. Yang pasti, cinta yang paling penting adalah cinta kepada Allah pencipta segala alam. Alangkah baik sekiranya cinta pertama itu ditujukan kepada Allah, dan dengan itu barulah kita mampu menyayangi diri kita sendiri dan kemudiannya menyayangi orang lain pula. 

No comments:

Post a Comment