Entri
3
: Apakah kerjaya yang anda fikir paling sesuai dengan ijazah yang anda miliki.
Kemuka tiga hujah yang boleh meyakinkan
majikan untuk mengambil anda bekerja.
Menjadi
mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan mengambil kos Pentadbiran
Perniagaan merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhi dengan matang.
Pentadbiran Perniagaan yang merupakan antara kursus utama di UUM, serta
kebanyakan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang lain, kursus ini boleh dianggap
sebagai kos lambakan. Persaingan sengit perlu ditempuhi bagi pelajar lepasan
kos ini. Hal ini merupakan satu amaran kepada pelajar yang masih menuntut di
IPT terutama yang mengambil kos ini, juga kepada diri saya yang mengambil kos
ini. Mungkin antara kerjaya yang boleh menjamin pelajar-pelajar lepasan ijazah
kos ini, adalah dengan menjadi cikgu. Mengikuti Kursus Pengajian Lepasan Ijazah
selepas pengijazahan mungkin merupakan jalan terbaik, sebagai jaminan kerjaya
menjadi guru selepas itu. Berikut merupakan antara hujah terbaik sebagai sebab
kerjaya guru sesuai kepada pelajar lepasan kos Pentadbiran Perniagaan, yang
saya ambil di UUM ini.
Dalam
mengejar kemajuan dunia yang semakin pesat, kerajaan tidak ketinggalan untuk
berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat. Antara usaha kerajaan kini adalah
untuk melahirkan golongan usahawan yang lebih ramai agar industri perniagaan
negara dapat dinaik taraf sekurang-kurangnya setingkat lagi. Justeru, peranan
guru dalam bidang Pentadbiran Perniagaan amatlah penting dalam menerapkan jiwa
berniaga dalam kalangan anak-anak muda agar mereka menjadi ushawan berjaya
suatu hari kelak. Bimbingan guru mata pelajaran ini amatlah penting.
Selain
itu, kos ini juga mengajar saya menjadi pelajar yang berkemampuan untuk menjadi
tenaga pengajar yang baik. Kebanyakan tenaga pengajar memperoleh kerjaya
sebagai guru lebih kepada nasib atau pun dengan bantuan ‘orang dalam’. Bukanlah
dengan kemampuan atau kemahiran mereka semata-semata. Jika dinilai kelayakan
guru dahulu lebih rendah gred peperiksaannya berbanding sekarang. Perkara ini
berpunca daripada kuota tenaga pengajar dahulu dibuka luas berbanding dengan
sekarang. Hal ini bermakna, guru pada masa dahulu diambil sebagai guru walaupun
mereka tidak benar-benar layak. Jika dibandingkan sekarang, calon untuk menjadi
guru terlalu ramai sehingga memeningkan kepala Kementerian Pelajaran untuk
memilih calon sesuai. Permasalahan ini disebakan pihak terbabit terpaksa
memilih guru secara rambang atau memilih calon yang ada hubungan dengan
kakitangan Kementerian Pelajaran. Hal ini terbukti apabila ramai pelajar yang
melepasi ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEDSI) dipilih secara
rawak untuk mengikuti program pendidikan di IPTA. Mereka tidak dipilih
berdasarkan kriteria yang tepat.
Malahan,
sebagai antara hujah yang bernas, pemilihan kerjaya guru yang saya pilih lebih
kepada untuk membela nasib guru lelaki dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan
kos-kos lain yang semakin kurang. Apatah lagi kebanyakan pelajar yang lemah
disekolah lebih tertumpu kepada murid lelaki. Kekurangan guru lelaki ini juga
mungkin antara faktornya. Mungkin mereka lebih mesra untuk belajar bersama guru
lelaki, tetapi dek kerana guru lelaki yang kurang, mereka menjadi segan untuk
berbincang masalah pelajaran bersama guru wanita.
Tuntasnya,
kredibiliti yang dinyatakan di atas terang dan jelas untuk membuktikan pelajar
kursus Pentadbiran Perniagaan seperti saya sesuai menjadi guru. Selain dapat
mendidik anak bangsa, guru yang mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan mampu
melahirkan golongan usahawan yang ramai seperti yang dimahukan kerajaan
Malaysia.