Wednesday, 29 May 2013

Entri Tambahan 2 : Pasca Pilihan Raya Umum ke 13. Bincangkan dan berikan ulasan.


                        Pilihan Raya Umum ke 13 baru sahaja baru berlalu. Masing-masing mempunyai pendapat sendiri tentang pilihan raya umum ini yang baru berlalu. Kecoh juga dengan peristiwa dengan seperti ‘blackout’ yang heboh satu Malaysia sebagai satu protes tentang kegagalan pihak pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat tewas dalam pilihan raya kali ini. Namun, jika dilihat statistik pilihan raya kali ini, jumlah kerusi Parlimen dan Dun yang dimenangi pihak kerajaan semakin berkurangan. Jumlah tersebut bagaimanapun berjaya ditutup dengan pihak kerajaan berjaya merampas kembali negeri Kedah daripada pihak pembangkang. Terdapat juga kejutan dengan kekalahan mengejut beberapa calon pilihan seperti Dato’ Nong Chik, dan Dato’ Abdul Ghani Othman. Namun yang pasti, gelombang tsunami kaum Cina yang membuat perubahan besar-besaran apabila rela memilih DAP daripada memangkah calon MCA. Serta, menarik perhatian juga ialah isu dakwat kekal yang pertama kali diperkenalkan kali ini. Banyak perdebatan disuarakan tentang perkara itu.
Entri tambahan 1 : Menjelang Pilihan Raya Umum Ke 13. Bincangkan.

            Pilihan Raya Umum Ke 13 semakin hampir. Tarikh 5 Mei 2013 merupakan hari keramat sebagai penentuan pemerintah bagi penggal seterusnya ini. Rakyat Malaysia yang layak mengundi di seru untuk keluar mengundi pada tarikh yang jatuh pada hari ahad itu. Setiap parti mahu pun calon bebas sudah bersiap sedia untuk bertanding, dengan penamaan calon sudah pun dilakukan pada 20 April 2013.
            Kepada mereka yang pertama kali mengundi, atau pun yang sudah beberapa kali mengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menambahbaik cara pengundian kali ini. Sebagai pengundi, antara panduan yang perlu pengundi tahu ialah pengundi perlu datang awal dengan membawa pengenalan diri. Setelah menunjukkan dokumen pengenalan diri, pengundi akan diberi nombor saluran mengundi dan dikehendaki untuk beratur menunggu giliran. Kemudian bergerak ke Kerani Pengundian Pertama dan diperiksa sama ada sudah mempunyai calitan atau belum. Setelah disemak dokumen pengenalan diri, dakwat kekal akan dicalit di jari telunjuk pengundi oleh Kerani Pengundian Kedua dan nombor siri, kad pengenalan, dan nama akan diteriak. Setelah meneriak, Kerani Pengundian Ketiga akan memberikan kertas undi dan barulah pengundi dibenarkan untuk mengundi.
            Selain panduan yang perlu pegundi tahu, pengundi juga perlu tahu larangan yang ditegah ketika di pusat mengundi. Pengundi tidak dibenarkan memakai apa-apa yang mempunyai logo parti serta tidak dibenarkan membuat bising. Selain itu, larangan juga dikenakan jika mengambil masa yang terlalu lama untuk mengundi dan apatah lagi sekiranya pengundi merosakkan kertas undi. Pengundi juga tidak dibenarkan untuk merayu undi, atau merayau-rayau di dalam kawasan pusat mengundi setelah selesai mengundi. Larangan paling keras adalah pengundi yang ingkar dan tidak mematuhi arahan pegawai SPR atau mencetuskan ketegangan. 
           




Begitulah antara sebahagian panduan untuk pengundi ketika ingin menjalankan tanggungjawab mereka pada 5 Mei 2013 ini. Seelok-eloknya, segala larangan yang dikenakan haruslah dipatuhi, agar perkara yang tidak diingini tidak terjadi. Lebih manis lagi apabila kemakmuran sebuah negara dapat dikekalkan dengan mengelakkan daripada melakukan kekecohan. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, tanggungjawab mengundi haruslah dilaksanakan dengan baik. Selamat mengundi diucapkan kepada rakyat Malaysia 
Entri 5 : Kenal pasti suatu isu di dalam negara atau di luar negara sama ada isu sosial atau
  politik atau pendidikan. Berikan ulasan anda.

            Republik China terkenal dengan kebolehan mereka dalam mencipta produk yang hampir serupa dengan produk canggih negara-negara lain. Namun disebalik kelebihan tersebut yang di anggap tidak adil, ekonomi Republik Rakyat China sebenarnya ialah ekonomi kedua terbesar di dunia mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar selepas Amerika Syarikat. Ia merupakan ekonomi utama dunia yang pesat berkembang, dengan purata pertumbuhan ekonomi 10% untuk 30 tahun yang lepas. China juga merupakan pengeksport terbesar dan pengimport kedua terbesar barangan di dunia. Enam rakan dagangan utamanya (Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan, Jerman) membentuk lebih 50% daripada jumlah perdagangan antarabangsa China.
            Kehebatan ekonomi Republik China ini bermula apabila Parti Komunis China (CCP) menformulakan dasar ekonominya sebagai sesuatu yang sosialis 'dengan karekter China'. Dimulai dengan tahun 1978 kepemimpinan China telah mereformasikan sektor ekonominya daripada suatu yang berasaskan sistem ekonomi kawasan pusat ala Soviet kepada suatu yang lebih kapitalis akan tetapi masih di bawah kawalan politik CCP. Kearah ini pentadbiran menukar ke sistem responsibiliti para keluaga dalam pertanian dalam penggantian sistem lama yang berasaskan penggabunggan, menambah kuasa pegawai tempatan dan pengurus kilang dalam industri, dan membenarkan pelbagai pengusahawanan dalam servis dan perkilangan ringan, dan membuka ekonomi kepada perdagangan dan pelaburan luar. Kawalan harga juga telah dilonggarkan. Ini telah mewujudkan penukaran sistem ekonomi berasaskan komunis kepada sistem ekonomi campuran komunis dan kapitalis.
            Perubahan sedikit demi sedikit ini ternyata membuka mata masyarakat dunia, terutamanya negara-negara dunia. Apatah lagi kuasa Amerika Syarikat sebagai pemegang ekonomi dunia semakin terjejas dengan kehebatan Republik China ini. Malaysia sepatutnya mencontohi visi Republik China ini agar Malaysia juga satu hari nanti menjadi antara kuasa besar pemegang ekonomi dunia walaupun Malaysia hanya sebuah negara yang kecil. Kepadatan penduduk yang kurang sehingga menyebabkan tenaga buruh dan tenaga pakar yang kurang bukanlah satu alasan. Malaysia seharusnya bijak mengeksploitasi dan menguruskan sumber yang masih banyak berbaki di bumi Malaysia ini.

            Mungkin dalam anggaran 20, 30 tahunakan datang, sekiranya Republik China mengekalkan prinsip mereka dalam pemerintahan negara tersebut, tidak dapat disangkal lagi kuasa Amerika Syarikat sebagai pemegang ekonomi nombor satu dunia akan berjaya dipintas. Disebalik kejayaan tersebut, Malaysia yang bercita-cita, menjadi negara moden, haruslah bijak menjalinkan hubungan yang erat dengan Republik China agar matlamat tersebut berjaya dicapai dan bukan sekadar angan-angan. Segala yang baik patut dicontohi dan begitu juga seabliknya. Sebagai rakyat Malaysia, amatlah berbesar hati jika dapat melihat negara sendiri maju dan harmoni setanding dengan negara-negara hebat lain. 
Entri 4 : Apakah itu cinta ?


            Tatkala membuka siaran radio, akan kedengaran lagu-lagu bertemakan cinta banyak disiarkan. Apabila membuka televisyen pula, drama-drama, telemovie dan filem juga banyak berkisarkan tentang cinta. Begitu juga dengan novel-novel serta majalah serta tidak kurang juga dengan beberapa akhbar yang telah menyediakan ruang khas untuk berbicara tentang cinta. Memang ternyata kalimah cinta itu cukup luas penggunaannya, melingkupi pelbagai lapisan dan seluruh pelosok dunia. Perkataan cinta itu sendiri tidak asing lagi bagi kehidupan manusia sejak dahulu lagi sehingga sekarang.
            Malah, jika disoal tentang cinta, setiap individu mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza-beza. Namun, umumnya cinta itu memberi maksud bawaan perasaan yang timbul tanpa paksaan iaitu perasaan sayang, suka, atau menggemari sesuatu. Perasaan itu timbul di lubuk hati yang paling dalam sehingga mengaitkan emosi dan adakalanya boleh membuatkan diri seseorang itu menjadi asyik terhadapnya. Perasaan cinta boleh hadir dalam keadaan dua hala atau sehala. Selain itu, seseorang akan melakukan apa-apa sahaja dan berusaha  sungguh-sungguh dalam mencapai matlamat atau kepuasan perasaan cinta tersebut.
            Cinta juga boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Cinta yang biasa kita lihat adalah antara sesama manusia iaitu antara pasangan kekasih atau pasangan suami isteri. Terdapat juga wujud perasaan cinta dan sayang terhadap mahluk yang berbeza. Contohnya seperti perasaan cinta terhadap alam sekitar dan juga sayang akan binatang peliharaan. Mungkin antara sifat cinta yang tidak diingini atau patut dielakkan adalah cinta kepada harta atau dunia, sehingga membuatkan seseorang itu terlalu taksub akan harta yang diperolehinya dan sukar untuk menderma. Selain itu, perasaan cinta pada agama masing-maisng juga membuatkan seseorang itu rajin beribadah atau taat pada suruhan agama mereka.

            Sesungguhnya cinta itu satu perasaan dan perkara yang terunik di dunia. Cinta merupakan anugerah teristimewa yang Allah kurniakan kepada kita. Janganlah anugerah tersebut disalahertikan atau disalahgunakan sehingga mengguris perasaan orang lain. Yang pasti, cinta yang paling penting adalah cinta kepada Allah pencipta segala alam. Alangkah baik sekiranya cinta pertama itu ditujukan kepada Allah, dan dengan itu barulah kita mampu menyayangi diri kita sendiri dan kemudiannya menyayangi orang lain pula. 
Entri 3 : Apakah kerjaya yang anda fikir paling sesuai dengan ijazah yang anda miliki.
  Kemuka tiga hujah yang boleh meyakinkan majikan untuk mengambil anda bekerja.


Menjadi mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan mengambil kos Pentadbiran Perniagaan merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhi dengan matang. Pentadbiran Perniagaan yang merupakan antara kursus utama di UUM, serta kebanyakan Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang lain, kursus ini boleh dianggap sebagai kos lambakan. Persaingan sengit perlu ditempuhi bagi pelajar lepasan kos ini. Hal ini merupakan satu amaran kepada pelajar yang masih menuntut di IPT terutama yang mengambil kos ini, juga kepada diri saya yang mengambil kos ini. Mungkin antara kerjaya yang boleh menjamin pelajar-pelajar lepasan ijazah kos ini, adalah dengan menjadi cikgu. Mengikuti Kursus Pengajian Lepasan Ijazah selepas pengijazahan mungkin merupakan jalan terbaik, sebagai jaminan kerjaya menjadi guru selepas itu. Berikut merupakan antara hujah terbaik sebagai sebab kerjaya guru sesuai kepada pelajar lepasan kos Pentadbiran Perniagaan, yang saya ambil di UUM ini.
Dalam mengejar kemajuan dunia yang semakin pesat, kerajaan tidak ketinggalan untuk berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat. Antara usaha kerajaan kini adalah untuk melahirkan golongan usahawan yang lebih ramai agar industri perniagaan negara dapat dinaik taraf sekurang-kurangnya setingkat lagi. Justeru, peranan guru dalam bidang Pentadbiran Perniagaan amatlah penting dalam menerapkan jiwa berniaga dalam kalangan anak-anak muda agar mereka menjadi ushawan berjaya suatu hari kelak. Bimbingan guru mata pelajaran ini amatlah penting.
Selain itu, kos ini juga mengajar saya menjadi pelajar yang berkemampuan untuk menjadi tenaga pengajar yang baik. Kebanyakan tenaga pengajar memperoleh kerjaya sebagai guru lebih kepada nasib atau pun dengan bantuan ‘orang dalam’. Bukanlah dengan kemampuan atau kemahiran mereka semata-semata. Jika dinilai kelayakan guru dahulu lebih rendah gred peperiksaannya berbanding sekarang. Perkara ini berpunca daripada kuota tenaga pengajar dahulu dibuka luas berbanding dengan sekarang. Hal ini bermakna, guru pada masa dahulu diambil sebagai guru walaupun mereka tidak benar-benar layak. Jika dibandingkan sekarang, calon untuk menjadi guru terlalu ramai sehingga memeningkan kepala Kementerian Pelajaran untuk memilih calon sesuai. Permasalahan ini disebakan pihak terbabit terpaksa memilih guru secara rambang atau memilih calon yang ada hubungan dengan kakitangan Kementerian Pelajaran. Hal ini terbukti apabila ramai pelajar yang melepasi ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEDSI) dipilih secara rawak untuk mengikuti program pendidikan di IPTA. Mereka tidak dipilih berdasarkan kriteria yang tepat.
Malahan, sebagai antara hujah yang bernas, pemilihan kerjaya guru yang saya pilih lebih kepada untuk membela nasib guru lelaki dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan kos-kos lain yang semakin kurang. Apatah lagi kebanyakan pelajar yang lemah disekolah lebih tertumpu kepada murid lelaki. Kekurangan guru lelaki ini juga mungkin antara faktornya. Mungkin mereka lebih mesra untuk belajar bersama guru lelaki, tetapi dek kerana guru lelaki yang kurang, mereka menjadi segan untuk berbincang masalah pelajaran bersama guru wanita.
Tuntasnya, kredibiliti yang dinyatakan di atas terang dan jelas untuk membuktikan pelajar kursus Pentadbiran Perniagaan seperti saya sesuai menjadi guru. Selain dapat mendidik anak bangsa, guru yang mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan mampu melahirkan golongan usahawan yang ramai seperti yang dimahukan kerajaan Malaysia.









Entri 2 : Selain ijazah dan ilmu-ilmu yang anda pelajari dalam tempoh pengajian di       
universiti, apakah kemahiran lain yang dapat memberi nilai tambah dalam usaha          anda mempersiapkan diri memasuki alam kerjaya.


            Impian untuk melangkah ke universiti adalah impian setiap insan. Berbagai-bagai tujuan bagi mereka yang berkeinginan untuk melangkah ke menara gading ini. Antara faktor utama yang merangsang ramai anak-anak muda ingin melangkah ke universiti adalah untuk dijadikan modal memperoleh kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan selepas melepasi alam universiti nanti. Pelbagai ilmu serta pengalaman boleh didapati dengan melangkah ke universiti. Namun, adakah segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di universiti sudah cukup memadai untuk menempuhi ranjau alam kerjaya? Dengan itu, amatlah penting bagi setiap mahasiswa untuk menggali serba sedikit ilmu psikologi sebagai bekalan ke alam kerjaya kelak.
            Dalam seharian bekerja, tidak dapat dinafikan ketegangan atau tekanan akan sering menghantui mengganggu aktiviti harian kita. Tekanan ini hadir melalui beberapa punca, contohnya bebanan kerja yang terlalu banyak, masalah keluarga, masalah kesihatan dan lain-lain lagi. Masalah ini perlu dikawal agar ia tidak mencacatkan prestasi kerja kita dalam menjalankan tugas. Disinilah yang membezakan antara individu yang mempunyai kelebihan psikologi atau tidak. Mereka yang mempunyai kelebihan psikologi ini tidak akan mudah tewas dengan tekanan yang dialami. Sebagai insan biasa di bumi Allah ini, mengalami tekanan adalah lumrah dalam kehidupan, tetapi adalah penting untuk mengetahui cara mengawalnya dengan teratur dan berkesan.
            Selain itu, jika seseorang siswazah itu ingin menghadiri temuduga, penemuduga pastinya akan menyemak segala butiran peribadi yang di lampirkan. Dengan keputusan peperiksaan yang memberangsangkan, tentunya peluang untuk melepasi temuduga tersebut adalah tinggi. Namun, jika hanya bersandarkan keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagai taruhan untuk melepasi temuduga tersebut, sejujurnya satu kesilapan telah dilakukan.  Penemuduga juga akan menguji sama ada kita mempunyai kelebihan yang tidak dipunyai oleh calon lain seperti kemampuan anda menangani masalah, membaca fikiran orang lain untuk merebut peluang, dan kematangan dalam menyusun kata-kata.

            Seandainya dibilang satu persatu, berkemungkinan banyak lagi deretan ilmu yang perlu dipelajari dalam mempersiapkan diri untuk menempuhi alam kerjaya. Bagaimanapun, serba sedikit ilmu yang dinyatakan di atas ini pastinya diyakini boleh membantu mahasiswa mahasiswi yang sudah berkira-kira untuk menempuhi alam kerjaya selepas ini.  
Entri 1 : Kenal pasti suatu budaya bangsa lain yang boleh anda pelajari dan amalkan dalam        
               hidup anda.

Menepati Masa
            Jepun merupakan sebuah negara yang cukup hebat kemajuan teknologinya di dunia. Kemampuan teknologi tersebut mampu menyaingi atau mendahului kehebatan teknologi negara-negara barat lain. Kehebatan negara Jepun ini banyak disumbang oleh sikap rakyat mereka yang menepati masa. Bayangkanlah, serangan nuklear yang menimpa bumi Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, sudah cukup untuk melumpuhkan Jepun selama-lamanya. Namun mereka mampu membangunkan negara sendiri dengan pantas. Ternyata amalan menepati masa mereka amat memainkan peranan dalam mendisiplinkan rakyat membangunkan Jepun.
            Budaya menepati masa ini sudah cukup sinonim dengan negara Jepun. Contohnya seperti aktiviti harian mereka, iaitu densya (kereta api) dan bas akan datang tepat pada masanya. Jika terlewat seminit pun penumpang bolehlah mengucapkan sayonara (selamat tinggal) kerana mereka amat menepati masa. Apatah lagi shinkanzen (kereta api laju) di Jepun bergerak dengan kelajuan 580 kilometer sejam, maknanya jika terlewat seminit pun penumpang akan tertinggal jauh.
            Tambahan lagi, skop menepati masa Jepun mencakupi skop yang luas. Tidak dinafikan lagi, menepati masa merupakan elemen yang sangat penting dalam pelaksanaan sesuatu kerja. Jadi, secara langsung negara yang mempunyai rakyat yang menepati masa, maka negara itu berpeluang cerah untuk maju dengan pesat hasil komitmen rakyat yang cukup berdisiplin. Dalam Islam sendiri pun sudah menyebut yang menepati masa ini cukup penting seperti yang tercatat dalam Surah al-Asr. Malaysia sepatutnya mencontohi negara Jepun dalam menerapkan budaya ini. Sedangkan mereka bukanlah negara Islam, tetapi sudah mengamalkan tuntutan yang ada dalam al-Quran, inikan pula Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.



            Kesimpulannya, sudah tiba masanya kita mengubah amalan hidup rakyat Malaysia yang sudah menjadi kebiasaannya untuk melewat-lewatkan sesuatu pekerjaan. Rakyat Malaysia patut mencontohi budaya menepati masa rakyat agar ;keharmonian dan kemajuan negara tercapai.